ChemOne Group Mengumumkan Pelantikan Bekas Menteri dan Duta Malaysia, Dato’ Sri Nazri Aziz, sebagai Ahli Lembaga dan Penasihat Kumpulan Pengerang Energy Complex
SINGAPURA, Dec. 11, 2025 (GLOBE NEWSWIRE) -- ChemOne Group (“ChemOne”) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai, Ahli Lembaga Pengerang Energy Complex Sdn Bhd (“PEC”) dan Penasihat Kumpulan, sekali gus memperkukuh keupayaan kepimpinan serta hala tuju strategik ChemOne.
Dato’ Sri Nazri, seorang negarawan terkemuka Malaysia, pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan memegang beberapa portfolio nasional penting dan baru‑baru ini sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat. Pengalaman luas beliau dalam hubungan antarabangsa, urusan kerajaan Malaysia dan pembangunan ekonomi strategik akan menjadi aset penting dalam menyokong kemajuan PEC ke fasa seterusnya.
“Kami berbesar hati mengalu-alukan Dato’ Sri Nazri ke Lembaga PEC dan ke keluarga besar ChemOne,” kata Alwyn Boden, Ketua Pegawai Eksekutif Pengerang Energy Complex. “Gabungan unik beliau dalam khidmat awam, pengalaman diplomatik serta cerapan mendalam terhadap landskap pelaburan Malaysia akan menyokong usaha kami untuk meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan, mempercepatkan penyampaian projek dan mengukuhkan komitmen jangka panjang kami terhadap Pengerang serta rantau ini.”
Pelantikan Dato’ Sri Nazri berlaku pada waktu yang penting bagi PEC, ketika ChemOne sedang melangkah ke fasa seterusnya dalam pembangunan projek dan penglibatan pihak berkepentingan. Penglibatan beliau menekankan komitmen berterusan PEC dan ChemOne terhadap ketelusan, kerjasama dengan pihak berkepentingan di Malaysia, serta penyampaian projek bertaraf dunia yang menyokong pembangunan industri negara.
“Saya berbesar hati untuk menyokong PEC dan ChemOne dalam usaha penting ini,” kata Dato’ Sri Nazri. “Pengerang Energy Complex mempunyai potensi untuk memainkan peranan transformasi dalam landskap industri dan ekonomi Malaysia dan saya menantikan peluang untuk membantu memajukan pembangunan strategik ini.”
Dalam kapasiti baharunya, Dato’ Sri Nazri akan memberikan panduan strategik kepada ChemOne mengenai isu khusus Malaysia serta memimpin penglibatan pihak berkepentingan, bagi memastikan pembangunan PEC berjalan dengan cekap dan menepati jadual.
Perihal Pengerang Energy Complex
Pengerang Energy Complex (“PEC”) bakal menjadi salah satu fasiliti pemisah kondensat dan aromatik bersepadu terbesar serta paling berdaya saing di dunia. Terletak di dalam Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) di Johor, ia mendapat manfaat daripada kedudukannya yang berhampiran dengan hab perdagangan utama serta pelabuhan air dalam. Direka bentuk untuk memproses 150,000 tong kondensat dan nafta suapan tambahan setiap hari, PEC akan menghasilkan 2.7 juta tan metrik setahun aromatik, 4.0 juta tan metrik setahun produk petroleum serta hidrogen bagi menyokong pembangunan bahan api boleh diperbaharui.
Projek bernilai AS$5.3 bilion ini menampilkan automasi canggih dan reka bentuk cekap tenaga bagi mengurangkan pelepasan serta keperluan peralatan. PEC dibangunkan secara induk oleh ChemOne Group, peneraju tenaga dan petrokimia yang berpusat di Singapura dengan lebih daripada 40 tahun pengalaman industri.
Perihal ChemOne Group
ChemOne Group ialah pemaju projek tenaga dan petrokimia terkemuka yang berpusat di Singapura, dengan fokus kepada penyampaian fasiliti bertaraf dunia yang lestari dari segi alam sekitar dan ekonomi. Dengan lebih daripada 40 tahun pengalaman terbukti, Kumpulan ini telah membangun dan mengendalikan pelbagai loji kimia perantaraan dan khusus di seluruh Asia Tenggara.
Selain membangunkan Pengerang Energy Complex (www.pengerangenergy.com) di Malaysia, ChemOne turut memajukan beberapa projek berskala besar lain merentasi pelbagai sektor dan lokasi di Asia. Kumpulan ini mengekalkan operasi di Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan China.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi Pasukan Komunikasi ChemOne Group: Kokila Sundram M: +65 9170 0507 E: kokila.sundram@chemoneholdings.com Zoe Shi M: +65 9892 5881 E: yi.shi@chemoneholdings.com
Legal Disclaimer:
EIN Presswire provides this news content "as is" without warranty of any kind. We do not accept any responsibility or liability for the accuracy, content, images, videos, licenses, completeness, legality, or reliability of the information contained in this article. If you have any complaints or copyright issues related to this article, kindly contact the author above.